Make your own free website on Tripod.com

 
   Ke Laman Pendidikan Islam

 

Konsep Pendidikan Islam 

Home 

Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid/pelajar berdasarkan ajaran Islam.  Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik.  Baik di sini tentulah baik pada pandangan Islam.  Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan.  Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu  lagi memberi pendidikan.

    Mendidik ialah kata-kata nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik.  Menasihati murid supaya melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan.  Menasihati murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan.  Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam.  Kekemasan diri, bilik darjah, kawasan rumah,   juga tuntutan Islam.  Menasihati pelajar atau murid melakukan semua ini ialah pendidikan Islam namanya.

     Berdasarkan kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam  bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama sahaja, malah kepada semua orang Islam.  Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam.  Manakala di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan Islam kepada semua murid Islam.  Guru agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya; pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan Islam.  Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat.   Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya.

    Kalau di sekolah guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik atau sesuatu suruhan Tuhan, seperti solat, tutup aurat dan sebagainya, manakala dirumah ibu bapa tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut kehendak Islam, bermakna ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan pendidikan Islam dalam aspek tersebut.  Sama juga  dengan  sekolah.  Jika guru Pendidikan Islam mengajar dan mendidik pelajarnya dengan perkara-perkara yang dituntut oleh Islam seperti di atas, tetapi guru lain tidak melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik pelajarnya yang beragama Islam supaya menghayati ajaran Islam.  Ini bermakna, guru tersebut tidak mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam. 

    Demikian jugalah dengan masyarakat.  Jika masyarakat tidak membanteras segala perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang wujud dalam masyarakat tersebut, sebaliknya menganjurkannya pula, bermakna masyarakat tersebut tidak mendidik anak buahnya dengan pendidikan Islam, malah sebaliknya meruntuhkan Islam.  Kalau inilah yang berlaku, pendidikan Islam yang dilakukan oleh guru Agama dalam bilik kelas itu tidak akan berkesan.  Dengan demikian, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat, seperti keruntuhan akhlak dan sebagainya, maka jangan disalahkan orang lain.  Kerana itu yang dikehendakai oleh ibu bapa, guru dan masyarakat. Setiap orang akan menegakkan benang basahnya dengan mengatakan ia betul dan orang lain yang salah seperti cerita bangau oh bangau, tetapi kita lupa, bahawa setiap orang akan menjawabnya di hadapan Tuhan.

    Malah, dalam pengajaran Pendidikan Islam itu sendiri, jika guru tidak hati-hati, guru hanya menyampaikan maklumat atau pengetahuan Islam sahaja, guru berkenaan tidak mendidik dengan pendidikan Islam.  Misalnya, guru Pendidikan Islam atau guru agama mengajar pelajarnya dengan tajuk Syarat Wajib Jumaat.  Di akhir pelajaran pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat tersebut, maka ini baru tercapai objektif pelajaran.  Guru tersebut, sebenarnya belum lagi mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam.  Pendidikan itu ialah kata-kata nasihat supaya pelajar menghayati ajaran Islam. 

    Kalau dalam tajuk ini, guru hendaklah menasihati pelajarnya (lelaki) supaya menunaikan solat Jumaat.  Lebih baik lagi, guru mengiringi pelajar ke masjid.  Dan sebelum ke masjid,  guru patut juga mendidik pelajarnya.  Iaitu menasihatkan pelajar supaya jangan bising di masjid.  Duduk dengan tertib di dalam masjid dan membaca apa-apa zikir yang baik, seperti membaca al-Quran atau selawat ke atas nabi.  Jika ini berlaku, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan Islam.  Demikianlah seterusnya dalam tajuk-tajuk yang lain, atau pun pelajaran-pelajaran yang lain yang bukan mata pelajaran agama.  Bagi guru yang kreatif, ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya.

    Ini bermakna, bahawa pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud.  Pertama bermaksud pendidikan Islam khusus. Iaitu yang merangkumi pelajaran tradisional seperti aqidah, ibadah, tafsir, sejarah, hadis dan sebagainya.  Kedua ialah pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi semua kata-kata nasihat yang boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup.  Inilah yang dikatakan pendidikan Islam.

     

Home