Make your own free website on Tripod.com

 
   Ke Laman Pendidikan Islam

 

Falsafah Pendidikan Islam

  Apakah sebenarnya yang dikatakan Falsafah Pendidikan Islam?

  Home 

 

Sebelum kita meninjau Falsafah Pendidikan Islam, adalah lebih elok diperincikan dahulu tentang Falsafah Islam itu sendiri dan juga asal perkataan falsafah.  Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani Kuno, dan dalam pengertian yang bebas ia bermaksud "Cintakan Hikmah"(Al-Syaibany, 1991)  Hikmah ialah satu pandangan dan fikiran yang tinggi atau jauh serta matang.  Pengamatannya tidak dapat dicapai oleh pengetahuan biasa.

    Dalam Oxfort Dictionary (1982) ditakrifkan falsafah sebagai:

    "Seeking after wisdom or knowledge especially that which deals with ultimate   reality, or with the most general causes and principles of things and ideas and human perception and knowledge of them, physical phenomena and ethics"

    Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran, (seeking the thruth), dan kebenaran itu sebenarnya hanya Allah.  Kalau kita cuba mencari erti hakikat hidup, maka ini adalah falsafah.  Hakikat hidup yang sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.  Yang kita tahu berdasarkan apa yang diberitahu oleh Allah, maka itulah yang benar dan mutlak.  Yang kita fikirkan sendiri menjadi falsafah kita dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah, maka itu tidakalah sebenar, ia tidak mutlak dan ianya bersifat relatif.  Sebab itu bermacam-macam falsafah timbul hasil pemikiran manusia.  Seperti Liberalisme, Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak lagi.  Jika falsasfah itu berpunca daripada Allah atau wahyu, maka ia akan sama sahaja perinsipnya dan juga matlamatnya.  

    Falsafah Islam ialah falsafah yang berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi apabila seseorang Islam yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada falsafah hidup atau falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain, perbincangannya tidak akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam. Sebaliknya, seorang Islam yang tidak memahami hakikat Islam, malah ia telah lebih dahulu mendalami falsafah lain daripada Islam, menjadi sangat susah ia menerima falsafah Islam.  Malah falsafahnya yang dikatakan Islam itu dalam banyak hal bertentangan dengan kehendak Islam.

    Jika falsafah itu diertikan dengan "cintakan hikmah atau kebenaran" maka falsafah Islam bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang berasaskan ajaran Islam.   Dan ajaran Islam itu bersumberkan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.  Failasuf Islam dari setiap zaman, apabila membincangkan tentang falsafah biasanya mereka tidak akan lari daripada soalan-soalan berikut sebagai asas perbincangan, iaitu:  Siapa anda (apa hakikat diri anda)?  Dari mana anda datang? Kenapa anda berada di sini (alam dunia)? Kemana anda akan pergi?  Apa tujuan hidup?  Dan apakah hakikat mati? (Yaljin, 1991).

    Perkataan hikmat disebut beberapa kali di dalam Al-Quran dengan maksud yang berbeza mengikut qarinah ayat berkenaan.  Hikmah ada kalanya bermaksud bijaksana (surah An-Nahli 125).  Mengikut Muhammad Nasir (1978) hikmah di sini bermaksud mengenal golongan.  Sheikh Muhammad Abduh pula berkata bahawa "Hikmah itu ialah memahami sesuatu tentang rahsia dan faedahnya".

    Untuk memahami sesuatu tentulah memerlukan ilmu, kerana ilmulah penyuluh untuk mengenal sesuatu.  Jadi ilmu ini tentulah ilmu yang benar.  Dalam versi yang lain Muhammad Abduh mengatakan bahawa "Hikmah itu ilmu yang benar yang menjadi pengerak untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang berfaedah"

    Orang yang mempunyai hikmah ini digelar "Hakeem".  Ia bermaksud orang yang mahir dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cukup baik dan halus (Muhammad Nasir, 1978).  Adakalanya hikmah itu bermaksud ilmu, iaitu ilmu yang tinggi martabatnya.  Ini berdasarkan ayat 269 surah al-Baqarah. Orang yang mempunyai hikmah mempunyai pandangan yang jauh, bukan setakat lima atau enam puluh tahun ke hadapan, tetapi sampai ke alam akhirat.  Ini jelas seperti cerita Luqman al-Hakeem di dalam Al-Quran.

    Falsafah Islam cuba maencari hakikat manusia dan alam semesta ini.  Setelah berusaha mencari dan berfikir berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan khalifah, kemudian mereka akan mati dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah.  Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat 55 surah Az-Zariyat, 30 Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan lain-lain.

    Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Ialam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany, 1991).  Jadi, maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan dan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah.  Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang saleh.  

    Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam kurikulum pendidikan.  Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman dan sebagainya, yang mana setelah menjalani pendidikan beberapa lama akan lahir seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada dengan orang Islam atau pun bukan Islam.   Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam ialah:

    Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan Keibubapaan, Pendidikan Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi.

    Jadi, berdasarkan falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan diatas itu perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan Islam.  Dengan demikian, barulah dapat melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna seperti yang dibincang dalam Matlamat Pendidikan Islam.  Penyataan Falsalah Pendidikan Islam yang digubalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, nampaknya ada unsur untuk menuju ke arah ini.

 

 Home