Ke Laman Pendidikan Islam

 

Tujuan dan Matlamat Pendidikan Islam

Home

 

Maksud Pendidikan Islam

 Pendidikan Islam boleh difahami dengan tiga maksud, iaitu:

         1.  Pendidikan Islam khas.  Hasan langgulung (1995) mengistilahkan  dengan Pendidikan Islam Terhad.  Ini merangkumi segala ilmu Islam yang terdiri daripada berbagai bidang, seperti Aqidah atau Tauhid, Ibadah atau Fiqah, Tafsir, Hadis, Akhlak, Sejarah atau Sirah, Falak dan lain-lain.  Dalam negara Malaysia inilah yang dikenali ramai dengan nama Pendidikan Islam, iaitu satu mata pelajaran dalam sekolah.

          2.  Pendidikan Islam Umum.  Ia melipuli segala bidang hidup manusia, seperti rohani, jasmani, emosi, sosial, politik, budaya, ekonomi, sains, multi media, mass media, teknikal, vokasional, pendidikan, perundangan dan lain-lain.  Maknanya, dalam setiap bidang itu ada pendidikan Islamnya.  Contohnya dalam ekonomi; kita boleh berinteraksi antara sesama manusia untuk pembangunan ekonomi, tetapi dalam Islam ada beberapa larangan semasa berinteraksi, seperti, tidak boleh tipu, mungkir janji dan sebagainya.  Di samping itu ada pula suruhan dan anjuran, seperti mudahkan kira bicara, bertolak ansur, banyak menolong dan memudahkan orang lain dan sebagainya.  Demikianlah juga dengan bidang-bidang lain.  Secara rengkasnya Islam mendidik supaya kita berinteraksi dengan orang lain mengikut kaedah Islam dan tidak melanggar perintah Islam.  Untuk mengetahui apa yang disuruh dan apa yang dilarang memerlukan ilmu.  Dan ilmu tidak dapat dengan begitu sahaja, sebaliknya mesti berusaha mencarinya, atau berlajar pada orang yang mengerti.

          Pendidikan Islam juga bermaksud Sistem Pendidikan.  Ia merangkkumi segala aspek yang berkaitan dengan pendidikan, dan semuanya mesti dilihat dan dilaksanakan mengikut prinsip Islam.  Ini termasuklah gurunya, pengurusnya sama ada di sekolah atau di pejabat (Jabatan dan Kementerian),  kriteria pemilihan guru, pemilihan kakitangan sekolah dan pejabat, kurikulum, sukatan pelajaran, buku teks, falsafah, matlamat dan segala-galanya mesti berdasarkan kepada prinsip Islam.  Kalau tidak berdasarkan kepada prinsip Islam maka ia tidak dinamakan sistem pendidikan Islam, walau pun di dalamnya terdapat pengetahuan agama Islam, seperti pengetahuan Agama Islam yang diajar di sekolah, di maktab, di politeknik, universiti dan lain-lain institusi pendidikan.  Kerana pengetahuan Agama Islam itu, atau Tamadun Islam yang diajar itu, merupakan sebagai tempelan atau sulaman sahaja.  Akibatnya kita tidak dapat melahirkan orang Islam yang mengamalkan Islam secara total, kerana ia bukan lahir daripada sistem, sebaliknya lahir daripada tempelan.  Kalau Pendidikan guru, misalnya, maktab perguruan atau universiti yang bukan mengikut sistem pendidikan Islam, maka kita tidak dapat melahirkan guru Islam yang sebenarnya, yang lahir ialah guru Tampal Sulam (Hasan langgulung 1991).  Jadi, sistem yang tampal sulam itu mengeluarkan guru yang tidak lebih daripada Guru Tampal Sulam.  Jadi pendidikan Islam itu ialah suatu yang luas dan bersifat holistik, bukan sempit seperti yang difahami oleh kebanyakan orang.

 

Tujuan Umum Pendidikan Islam

Pendidikan Islam yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah Pendidikan Islam Terhad, iaitu berdasarkan kepada sub subjek yang ada dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.  Dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah terdapat sub subjek seperti berikut:

Sekolah Rendah:

1.0.   Asuhan Tilawah Al-Quran. 

Ia mengandungi perkara-perkaran yang berkaitan dengan mengenal dan menyebut huruf hijaiyah, membaca, menghafaz dan memahami maksud atau tema ayat yang dibaca dan dihafaz.

 2.0.   Asas Ulum Syari`yah

Ia mengandungi:
Aqidah
Ibadah
Sirah

3.  Asas Akhlak Islamiyah
     mengandungi asas akhlak dan adab untuk diamalkan oleh orang Islam

   Sekolah Menengah

 1.0.   Tilawah Al-Quran

Ia merangkumi bacaan, hafazan dan kefahaman

  2.0.   Ulum Syar`iyah (Teras)

Ia mengandungi:
Aqidah
Ibadah
Sirah
Institusi Islam
Akhlak

Mata pelajaran (Elektif) mengandungi

Pendidikan Al-Quran dan Sunnah
Pendidikan Syar`iyah Islamiyah
Tasawwur Islam.

 Semua pelajaran ini diajar menuju ke satu matlamat sahaja, iaitu melahirkan insan yang soleh dan bertamadun, yang beriman serta beramal dengan ilmunya, yang mampu memikul tanggung jawab sebagai hamba dan khalifah Allah, bagi membangun diri, keluarga, masyarakat dan negaranya, merangkumi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam yang dipetik daripada Al-Quran dan As-Sunnah.

Untuk itu, guru seharusnya faham dan jelas tujuan mengajar dan belajar  dan segala aktiviti dalam dan di luar bilik darjah.  Antara tujuannya berdasarkan sub mata pelajaran ialah seperti berikut:  
 

  1.   Pengajaran Tilawah Al-Quran.  Antara tujuannya ialah:

-      Dapat mengenal dan menyebut huruf-huruf Al-Quran dengan betul dan fasih

-      Dapat membaca Al-Quran dengan baik, betul dan fasih

-      Mengetahui makna ayat-ayat yang dibaca

-      Menghayati ajaran ayat yang telah dipelajari

-      Menghafaz ayat-ayat tertentu dengan memahami maksud ayat tersebut

Dengan demikian, guru mesti berusaha memperbaiki mutu bacaan Al-Quran, termasuk cara sebutan makhraj dan sifatnya serta lagunya, kerana pelajar akan meniru cara guru membaca Al-Quran.  Guru mesti cuba pastikan bahawa setiap kali pelajaran Al-Quran, pelajar mendapat sesuatu yang baru daripada Al-Quran.  Dengan cara ini pelajar tidak jemu belajar Al-Quran, malah terasa rugi kalau ia tertinggal, serta ia merasa Al-Quran itu sentiasa baru, bukanya suatu yang ketinggalan zaman.  Pelajar mengetahui bahawa Al-Quran sentiasa menyentuh tentang dirinya.  

  1.  Ibadah. 

-      Supaya pelajar dapat mengetahui apa dia ibadah dan apa jenis-jenis ibadah

-      Dapat melakukan ibadat dengan betul, sah dan diterima oleh Allah, seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya

-      Dapat pahala ibadat bagi urusan lain dalam hidup. Seperti bekerja, menolong orang, menjaga kebersihan, kesihatan, mengasihi binatang, taat ibu bapa, horamat guru, berkahwin dan lain-lain

-      Supaya pelajar tahu apa-apa jenis  pekerjaan yang haram bekerja, juga tempat-tempat yang tidak diharuskan bekerja dan yang mana pula yang  hurus.

-      Pelajar mengetahui jenis-jenis makanan dan minuman yang diharuskan dan yang diharamkan, di samping itu menanam rasa tanggungjawab supaya melakukan yang harus dan menjauhi yang haram

-      Mengetahui jenis-jenis tindakan, pekerjaan, pengurusan, serta pentadbiran yang baik yang dianjurkan oleh Islam serta jenis-jenis pengurusan yang salah dari perspektif Islam

-      Supaya tingkah laku dan tidndakan pelajar hingga mereka dewasa tidak bertentangaan dengan ajaran Islam.  
 

  1.  `Aqidah

-      Menerapkan `aqidah yang benar kepada pelajar

-      Mengukuhkan kepercayaan kepada Allah yang Esa

-      Menanamkan keyakinan terhadap rukun-rukun Iman yang enam

-      Percaya kepada perkara ghaib seperti yang khabarkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah

-      Mengelakkan daripada kepercayaan sesat

-      Menjauhkan daripada amalan syirik dan khurafat

-      Menanamkan roh cintakan agama

-      Mencintai Rasulullah dengan bersedia mengikuti sunnahnya dan meninggalkan larangannya

-      Mengetahi sifat-sifat Allah dan rasul  
 

  1.  Akhlak

-      Memahami Islam secara syumul

-      Memahami konsep akhlak dalam Islam dan mengamalkannya

-      Menghayati cara hidup Islam dengan sempurna dan menyeluruh

-      Menjauhi cara hidup liar, sesat dan merosakkan

-      Melatih tata cara bergaul yang sempurna dan harmoni

-      Beradap dengan orang, terutamanya yang lebih tua dan berpangkat

-      Bertamadun, iaitu dapat bergaul dengan orang Islam dan bukan Islam, serta mengasihi binatang

-      Menjaga alam sekitar

-      Rela berjuang untuk menegakkan yang benar  
 

  1. Sirah

-      Mengenali Nabi s.a.w. dan sahabat dengan lebih dekat

-      Mencintai Nabi s.a.w. dan keluarganya

-      Menginsafi terhadap perjuangan Nabi s.a.w. dan para sahabat dalam menegakkan agama Islam

-      Merasai betapa susahnya hendak menegakkan agama Islam – Untuk masa sekarang – ialah untuk mengamalkan ajaran Islam

-      Mengenali ulama dan pejuang-pejuang Islam

-      Meniru dan mengambil pengajaran daripada perjuangan orang yang terkemuka

-      Menyelidik hasil karia orang terkemuka dan mengambil faedah daripadanya  
 

  1. Institusi Islam

-      Mengenal Islam sebagai agama yang mempunyai organisasi yang cukup lengkap

-      Mengetahui jenis institusi Islam dan peranannya; seperti institusi keluarga, masyarakat, kehakiman, perundangan, pendidikan, kewangan, pemerintahan, syura, ketenteraan, keselamatan, sosial dan sebagainya

-      Mengetahui dengan lebih dekat peranan setiap institusi dan kepentingannya terhadapat pembangunan masyarakat Islam setempat dan masyarakat sesebuah negara  
 

Kesimpulan

Jadi, guru hendaklah bersedia sebelum memasuki kelas berdepan dengan pelajar.  Guru harus faham terlebih dahulu  tujuan ia mengajar mata pelajaran berkenaan.  Guru sentiasa bertanya kepada dirinya;  Apakah sampai objektif pengajaran dan pembelajaran, dan apakah sampai tujuan yang tersirat di dadanya.  Guru harus pastikan bahawa setiap kali ia masuk kelas ada suatu yang baru yang disampaikan atau, pelajar merasakan ada suatu yang baru setiap kali mengikuti kelas.  Maka dengan ini pelajar tidak merasa jemu mengikuti kelas Pendidikan Islam, kerana mereka sentiasa dapat sesuatu yang baru.  Guru juga patut renungkan, apakah ada kemungkinan besar tercapai matlamat pendidikan - dalam masa sekian-sekian tahun itu - untuk melahirkan generasi Islam yang faham Islam dan mengamalkan Islam. Yang boleh membaca Al-Quran dengan baik dan menghayati kandungan dan ajarannya.  Jika ini berlaku, maka sejahteralah guru itu dunia dan akhirat.  Hidupnya bahagian dunia dan akhirat.  Tidak terasa tertekan, tidak terasa lemah, tidak pernah merasa tidak cukup wang.  Ia sentiasa kaya daripada orang lain, walaupun gajinya lebih kecil daripada orang lain.  Yang dia rasa ialah perjuangannya belum cukup.  Inilah dia Muallim, Murabbi, Muaddib dan Daie.