Make your own free website on Tripod.com

 
   Ke Laman Pendidikan Islam

 

Guru Profesion Yang Mulia

Home Up

 

            Di antara profesion yang mulia di sisi Allah dan juga masyarakat ialah guru.  Kerana guru mewarisi tugas para nabi dan rasul untuk mendidik masyarakat.  Guru mengajar masyarakat menjadi pandai dan berilmu, disamping itu mendidik anak-anak didik menjadi insan yang baik dan mampu berjasa kepada keluarga dan masyarakatnya.

            Dengan demikian,  kita haruslah berterima kasih kepada mereka, kerena jasa merekalah, maka kita hari ini pandai menulis, membaca dan mengira.  Dalam masa yang sama, kita juga patut bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memasukkan ilmu ke dalam dada kita dengan perantaraan para guru.  Ayat 3 hingga 5 surah al-`Alaq sudah cukup terang dan jalas mengenai perkara ini.

            Nabi dan rasul diutuskan oleh Allah sebagai guru untuk mengajar manusia dengan ilmu yang benar, iaitu ilmu yang Allah wahyukan kepada mereka.  Mereka mengajar ilmu tentang ketuhanan, tentang perkara yang baik dan buruk, mereka mengajak manusia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan yang buruk.  Mereka mengajar manusia supaya ingat bahawa hidup di dunia ini hanya sementara sahaja.  Semua akan mati dan kemudian akan dihidupkan semula untuk diberi balasan terhadap perbuatan mereka semasa hidup di dunia.

            Guru-guru pun demikian juga.  Mereka mengajar manusia supaya pandai membaca dan menulis.  Mengenal Tuhan, faham maksud adanya semua benda yang dapat dilihat, faham tingkah laku yang baik dan yang buruk.  Mengajar manusia supaya mereka dapat menjalani hidup dengan kerjaya masing-masing dan mendapat keredaan Allah s.w.t.  Mengajar manusia supaya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.  Melihat kepada aspek-aspek inilah dikatakan guru mewarisi tugas para nabi.

            Dewasa ini tidak semua guru dapat menjalankan tugasnya seperti   contoh yang tersenarai di atas.   Ramai guru yang tidak dapat menunjukkan akhlak yang baik kepada muridnya.  Terdapat sebahagian kecil yang tidak mampu mendidik dan menjadi contoh yang baik kepada murid atau pelajarnya supaya mesreka juga menjadi insan yang baik dan mulia mengikut perspektif Islam.

            Guru memainkan peranan yang besar dalam pendidikan ummah.  Justeru itu guru harus mempunyai sifat-sifat pemimpin yang baik.  Guru juga adalah pendidik, kaunselor, pendakwah, ikutan dan pemimpin.   Semua tugas ini dijalankan secara serentak dan memerlukan kemahiran dan pengalaman dalam bidang tersebut.

            Oleh kerana guru tidak memiliki pengalaman dan kemahiran dalan bidang-bidang berkenaan, maka mereka tidak dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan sempurna.  Harus difahami bahawa setiap guru Islam bertanggungjawab dengan Allah Taala untuk mendidik muridnya menjadi insan muslim yang dapat menjalani hidupnya sebagai seoragn muslim yang sejati.

            Justeru itu, setiap guru muslim mestilah seorang yang sentiasa taat perintah Allah serta menjauhi larangannya.  Guru yang meninggalkan solat lima waktu, yang suka berjudi, menipu, tidak menutup aurat dan sebagainya, maka mereka tidaklah menjadi uswah dan qudwah (contoh & kepimpinan) yang patut diikut.  Malah mereka tidak layak menjadi guru untuk mendidik anak-anak orang Islam.

            Guru yang tidak dapat mengawal nafsu dan bertindak mengikut perasaan juga tidak layak menjadi guru, kerena dirinya tidak stabil, jadi bagaimana mungkin mereka hendak mendidik orang supaya stabil.  Kerana adanya guru yang berperibadi demikian, maka ia melahirkan pelajar yang berperibadi demikian juga.

            Kita sering melihat laporan akhbar dan mendengar berita radio dan TV tentang salah laku di kalangan pelajar sekolah menengah, dan ini sedikit sebanyak ada hubungan dengan peribadi guru.  Kita tidak dapat hendak menafikan seratus peratus walaupun kita tidak menerima seratus peratus maksud daripada pepatah Melayu lama; ”Kalau guru kencing berdiri anak murid kencing berlari”, kerana ini ada kebenarannya.

            Dalam hal ini. pada hemat penulis, ada dua perkara yang mungkin boleh dibuat alasan.  Pertama kerana sikap dan personaliti guru itu sendiri, dan kedua kerana guru tidak dapat mendisiplinkan pelajar sebab diganggu oleh ibu bapa sebab ada ibu bapa yang suka masuk campur dalam urusan pentadbiran sekolah.

            Misalnya, apabila guru memarahi pelajar kerana sesuatu kesalahan, maka datanglah ibu bapa menyerang guru berkenaan. Ini bererti ibu bapa itu sendiri yang tidak mahu anaknya jadi baik, sebab ibu bapa itu sendiri sudah begitu sikapnya.  Jadi, kedua-dua perkara ini sama-sama menyumbang ke arah pendidikan yang tidak berkesan.  Jadi, guru harus mempunyai alternatif lain untuk mendidik anak-anak, di samping membuang sifat-sifat negatif serta peribadi yang tidak cocok dengan pendidikan Islam.  Hanya dengan ini sahajalah kita dapat memertabatkan kembali peranan guru sebagai pemimpin, pendidik, kaunselor, pendakwah dan sebagainya.

 

Kes-kes renungan

            Pada awal sesi 1998/1999, ramailah ibu bapa datang ke sekolah menghantar anak-anak yang baru masuk tahun satu.  Di sebuah sekolah di daerah Ampang, pada suatu pagi seorang guru perempuan membaling buku murid kerana sesuatu kesalahan, dan buku yang dibaling itu hampir terkena seorang ibu lain yang juga menghantar anak ke kelas berkenaan.  Kerana melihat sendiri peristiwa itu, ibu berkenaan terus membawa anaknya keluar dan membuat pertukaran sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah.

            Persoalannya ialah, apakah itu caranya mendidik anak yang baru masuk sekolah?  Apakah teori yang dipakai oleh guru berkenaan?  Teori Islamkah, Yahudikah atau hawa nafsu?  Apakah dengan cara demikian budak kecil itu akan jadi baik atau sebaliknya?  Apakah ini satu teori psikologi yang dipelajari di maktab dahulu?

            Dalam kes lain dalam tahun 1999 guru hilangkan buku latihan murid dan memarahi murid kerana menulis dalam buku lain dan terus merotan murid itu (tahun 2) kerana kononnya menghilangkan buku tersebut, walaupun budak itu mengatakan buku ada pada cikgu.  Selepas beberapa hari buku itu terjumpa semula di tempat guru berkenaan bersama sama dengan buku darjah lain. 

            Persoalannya:  Apakah tindakan cikgu itu betul sebagai pendidik?  Teori apa yang cikgu berkenaan ikut?  Apakah dengan cara itu murid akan sayang kepada cikgu?  Atau, selesaikah masalah itu dengan memukul murid?

            Kalau mengikut teori Islam (lihat al-Zarnuji, al-Qabisi, Ibnu Shahnun dan al-Ghazali) kesalahan murid yang boleh dipukul ialah apabila murid itu melakukan kesalahan yang salah mengikut syariat Islam, seperi mencuri, merosakkan hartabenda sekolah dan sebagainya. 

Dalam kes ini guru yang melakukan kesalahan dan guru itu yang pukul murid.  Kalau mengikut teori barat sekali pun kesalahan itu tidak boleh dipukul sebaliknya diselidiki dan dinasihat.  Tetapi inilah jenis guru yang ada dan mengajar anak-anak orang Islam hari ini. 

            Kes serupa ini berlaku juga di sekolah menengah dalam tahun 1999, di mana guru memerintakhan pelajarnya supaya menyalin semula nota yang telah ditulis di dalam buku tebal.  Pelajar tidak mahu menyalinnya kerana bukan dia yang hilangkan buku itu, sebaliknya buku itu ada pada guru.  Setelah dihukum pelajar ini, tiba-tiba buku itu terjumpa semula, ia ada dalam simpanan guru.  Apakah kena dan adil tindakan guru itu?  Adakah profesional tindakannya?

            Guru memberi kerja rumah dan tak dapat siap sebab banyak dan banyak guru lain juga memberi kerja rumah.  Apabila datang ke sekolah besoknya murid ini dipukul sebab tidak siap kerja rumah.  Bayangkan guru yang belajar psikologi tetapi tidak tahu mengamalkan psikologi.  Dan ini menyebabkan murid tidak mahu datang ke sekolah apabila kerjanya tidak siap. 

Persoalannya: Apakah tindakan guru ini kena mengikut prinsip Islam.  Jika guru mengambil tindakan tidak stabil dengan kesalahan yang dilakukan oleh murid apa pula hukumnya di sisi Allah? Inilah perkara Fardhu Ain yang patut dimengerti oleh para guru.

Satu yang lumrah bagi sekolah sekarang ialah budaya khutbah.  Apabila ada sahaja perhimpunan, maka guru/guru besar/pengetua mengambil masa yang begitu lama untuk memberi khutbah. Pelajar berdiri di tengah panas, malah ada yang pengsan (di sebuah sekolah menengah) kerana lama berdiri.

Bukankah pengetua dan guru besar telah belajar di maktab dan universiti tentang aturcara mengajar.  Mesti ada objektif dan isi.  Tetapi apabila sampai masanya tidak digunakan teori yang dipelajari.  Mengapa tidak diamalkan ilmu yang dipelajari.  Bercakaplah apa yang perlu dengan ringkas dan padat.  Tidak payahlah berkhutbah begitu lama yang menyebabkan pendengarnya bosan.

Pernah penulis berada di sekolah (rendah dan menengah) pada hari pertama persekolahan.  Empat puluh minit guru besar berucap dalam perhimpunan yang terdiri daripada murid lama, murid baru dan ibu bapa.  Kepada siap ucapan itu ditujukan?  Ibubapakah, murid lamahkah, atau murid baru?    Jika kepada murid baru, fahamkah anak-anak itu ucapan yang panjang lebar demikian?  Jika murid lama, apa yang hendak disampaikan?  Jika ibu bapa, adakah ibu bapa memberi tumpuan dalam keadaan yang bising dan hingar bangar itu?

Ini semua tidak perlu dan  buang masa.  Beri sahaja arahan kepada guru-guru dan masuk kelas.  Tahulah guru itu apa yang hendak dilakukan.  Dalam keadaan anak menangis, yang bercakap dan berbagai-bagai lagi siapakah yang mendegar khutbah?

Di awal tahun 2000, penulis hadis di majlis pendaftaran pelajar baru tingkatan satu di sebuah sekolah menengah.  Waktu pendaftaran pelajar ialah jam 8.30 pagi.  Apabila ibu bapa datang diberi dengan satu booklet mengenai peraturan sekolah.  Ini baik dan patut dipuji.  Kemudian semua dijemput masuk dalam dewan. 

Dewan tidak dapat menampung semua yang hadir. Dengan demikian ramai yaaang berdiri di luar dewan. Kemudian seorang demi seorang guru naik ke pentas memberi taklimat, sehingga jam 10.00 pagi belum mendaftar.  Ibu bapa yang berdiri di luar tidak mendengar isi ucpan, sebaliknya bercakap dan melahirkan rasa tidak setuju cara itu dan membuag masa.  Kenapa jadi begini?  Kerana tidak jelas objektif.  Dengan demikian tindakan orang profesional tidak profesional namanya.

Penulis ialah bekas seorang guru.  Jadi, dengan kejadian yang berlaku dewasa ini menyebabkan penulis merasa sedih kerana ia melibatkan profesion penulis sendiri  dan kerja ini ialah kerja yang mulia dan banyak pahala.  Jika dijalankan dengan baik, banyak pahala Allah sediakan.  Sebaliknya, jika dijalankan dengan cara yang tidak kena menyebabkan semua pahala batal, malah dalam banyak hal mengundang dosa pula, kerana kita melakukan kesalahan terhadap makhluk.

Jadi, bersempena dengan hari guru tahun ini, marilah sama-sama kita para pendidik melakukan muhasabah.  Kita lihat apa yang telah kita lakukan  selama ini sama ada ia sesuai dengan Islam atau bertentangan.  Jika ada yang sesuai, kita bersyukur.   Jika ada yang bertentangan, kita Islahkan. Jika ada teguran, kita lihat.  Jika ada kebenarannya kita ambil, jika tidak ada tinggalkan. Hanya dengan cara ini sahaja kita dapat mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat.  Siapa yang mengikut Islam, ia akan berjaya dan mendapat keredaan Allah.  Siapa yang tidak ikut, ia mungkin berjaya di dunia, tetapi tiada keredaan Allah, manakala di akhirat belum tentu akan berjaya.

 

Home Up