Make your own free website on Tripod.com

 
   Ke Laman Pendidikan Islam

 

 Konsep Pendidikan Al-Quran

    Home Up  

  

               Pada umumnya, masyarakat Islam seluruhnya, termasuk di Malaysia, menganggap bahawa belajar Al-Quran hanya setakat kenal huruf dan boleh membacanya sahaja.  Ini adalah satu kefahaman yang mengelirukan dan melemahkan mentaliti masyarakat Islam.  Dengan adanya kefahaman ini, maka orang Islam hanya berusaha menghantar anak mereka kepada guru-guru Al-Quran atau sekolah Al-Quran pada masa anaknya berumur 6 atau 7 tahun.  Selepas tamat  pengajian Al-Quran itu maka mereka tidak perlu lagi membacanya atau belajar dengan lebih mendalam.  Segala amalan dalam kehidupannya sehari-hari dianggap tidak kena mengena dengan Al-Quran.

            Hasilnya, lahirlah anggota masyarakat yang berbangga kerana pernah belajar membaca Al-Quran, walaupn sekarang mereka tidak boleh membacanya lagi, kalau boleh baca pun, mereka membaca dengan cara dan sebutan makhraj yang salah, serta  lahjah yang tidak tepat.  Mereka hanya berbangga kerena pernah belajar Al-Quran, sedangkan kehidupannya, percakapannya, tindakan dan makan minumnya bertentangan dengan ajaran Al-Quran.

            Sebenarnya belajar Al-Quran membawa maksud yang lebih luas daripada itu.  Berdasarkan daripada kefahaman ayat 121 surah al-Baqarah serta huraiannya oleh As-Saboony (1985), bahawa  pengajaran dan pembelajaran Al-Quran memberi makna yang lebih luas lagi, iatu membaca, memahami dan mengamalkan.  Antaranya yang perlu ada dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah merangkumi perkara-perkara berikut:

1.     Mengenal huruf-huruf Al-Quran

2.     Boleh menyebut huruf-huruf Al-Quran dengan betul dan jelas mengikut makhraj dan sifat-sifatnya.

3.     Boleh menyebut kalimah-kalimah Al-Quran dengan betul

4.     Boleh membaca ayat-ayat Al-Quran dengan betul dan fasih mengikut hukum Tajwid.

5.     Boleh membaca dengan suara dan lagu yang baik

6.     Mengetahui maknanya

7.     Memahami maksudnya

8.     Mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa dalam kisah-kisah Al-Quran

9.     Mengamalkan suruhan dan menjauhi larangan Al-Quran

10.  Menghayati ajaran dan Akhlak Al-Quran dalam setiap tidakan

11.  Menghafaz ayat-ayat Al-Quran.  Jika mampun menghafaz keseluruhannya, dan inilah adalah yang terbaik.  Jika tidak mampu haruslah berusaha menghafaz sebahagiannya atau sekadar perlu untuk dibaca di dalam solat dan wirid-wirid tertentu

12.  Mengajar Al-Quran kepada orang lain.  Ini berasarkan sabda Nabi Sallallahu `Alaihi Wasallam yang bermaksud:  “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar dan mengajar Al-Quran”.

 

Berdasarkan kepada perkara-perkara yang dibentangkan di atas, dapat kita fahami dan buat kesimpulan bahawa mengajar dan belajar Al-Qiran itu sangat luas maksudnya dan merangkumi:

1.     Tilawah:  iaitu boleh membca Al-Quran dengan baik dan fasih

2.     Tafahhum dan Tafsir:  Iaitu mengetahui makna dan faham maksud ayat-ayat yang dibaca

3.     Tatbiq:  Iaitu bermaksud menghayati atau merealisasi ajaran Al-Quran di dalam hidupnya dengan sepenuh hati dalam semua aspek kehidupan.

4.     Tahfiz:  Yakni menghafaz ayat-ayat tententu daripada Al-Quran untuk amalan, bacaan dalam solat, wirid-wirid dan sebagainya

5.     Tarannum.  Ini bermaksud membaa Al-Quran dengan suara yang baik dan merdu serta dengan lagu-lagu yang sesuai.  Lagu ini dinamakan lagu Al-Quran

6.     Ta`lim:  Kalimah ini bermaknad mengajar.  Maksudnya berusaha belajar sehingga boleh mengajr orang lain. Dengan cara inilah Al-Quran boleh berkembang dari satu masyarakat ke satu masyarakat dan dari satu generasi ke satu generasi.

Inilah caranya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam mengajar sahabat-sahabat atau pengikut baginda pada masa itu, iaitu sempurna ke enam-enam perkara seperti yang disebutkan di atas (Al-Badry, 1984).  Kemudian dengan cara yang sama juga sahabat-sahabat mengajar pengikut-pengikut mereka hingga ke generasi-generasi terkemudian.  Jika cara ini dapat dipraktikkan dengan baik, maka barulah sesuai kedudukan Al-Quran sebagai Kitab Petunjuk kepada orang yang bertakwa (al-Baqarah 2), serta kitab penawar dan rahmat kepada orang mukmin (al-Isra` 82).

Memahami hakikat ini, maka dengan sendirinya kita dapat menolak kefahaman salah yang berlegar dalam masyarakat hari ini.  Iaitu ada golongan yang mengatakan bahawa Al-Quran tidak perlu diketahui maknanya, cukup dengan membacanya sahaja dan tidak payah berlagu.  Ada pula golongan yang mengatakan Al-Quran tidak perlu dibaca, malah tak tahu baca pun tidak mengapa, yang penting ialah faham makna, dan macam-macam lagi pendapat.  Semua pendapat sebegini ialah bertentangan dengan hakikat Al-Quran itu sendiri.  Yang jelas, rujuk kepada amalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.  Baginda membaca, mengamal dan mengajar orang lain.  Demikian jugalah para sahabat.

 

Bagaimana berinteraksi dengan Al-Quran?

Ada tiga caranya iaitu:

1.     Setip muslim mesti membaca Al-Quran setiap hari dengan penuh perhatian, walau pun sedikit.  Jadikan ini sebahagian daripada aktiviti hidup.

2.     Cuba hafazkan ayat-ayat Al-Quran walau pun satu ayat sehari, khasnya ayat-ayat yang telah kita faham makdsudnya.  Selepas sekian lama kita akan terkejut mendapati kita telah pun menghafaz sekian banyak ayat Al-Quran

3.     Semasa membaca Al-Quran, cuba tumpukan sepenuh perhatian kepada makna ayat yang dibaca.  Kemudian renungkan bagaimana hendak merealisasikan maksud ayat itu ke dalam diri kita.

4.     Yang lebih penting ialah aspek penghayatan atau amalan.  Setiap kali kita hendak melakukan sesuatu pekerjaan, kita renung dan fikirkan terlebih dahulu; apakah perbuatan kita itu bertentangan dengan Al-Quran atau tidak?.Contohnya:  Kita hendak makan atau minum.  Tanyakan dalam hati;  ini halal atau tidak.  Kita hendak bercakap menyebutkan sesuatu, tanyakan dahulu;  ini dibenarkan oleh Quran atau tidak.  Kita menerima wang daripada orang, tanya dahulu dalam hati; ini raswah ke, hadiah ke, atau apa?  Jika diyakini yang kita lakukan itu tidak bertentangan dengan Al-Quran, maka teruskan, jika tidak, hentikan.   Demikianlah dengan pekerjaan lain, seperti berpakaian, berkawan dan sebagainya.  Jika ini dapat kita lakukan, kita sebenarnya menjaga keselamatan diri kita dunia dan akhirat.  Inilah yang dikatakan berinteraksi dengan Al-Quran.  Inilah yang dikatakan Al-Quran itu kitab Petunjuk dan kitab Rahmat.

 

 

   Home Up