Ke Laman Pendidikan Islam

 

Panduan Menghafaz Al-Quran

Home Up

 

     Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan sebagai pembimbing manusia ke jalan yang benar.  Oleh kerana ia yang akhir, maka ia lebih lengkap dibandingkan dengan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya.  Al-Quran juga merupakan kitab yang mu`jiz.  Bahasanya tinggi, sasteranya indah, maknanya dalam, pengajarannya luas dan isi kandungannya meliputi segenap aspek kehidupan manusia.  Dan yang lebih hebat lagi, ia boleh dihafaz oleh manusia dan jin yang mempunyai niat yang ikhlas untuk berbuat demikian.  Tentu ada sesuatu hikmah disebaliknya, justeru kita dianjurkan supaya menghafaznya.

    Menghafaz Al-Quran bukan perkara baru.  Sejak ia diturunkan ia telah pun dihafaz.  Nabi Muhammad s.a.w.  merupakan orang pertama menghafaz Al-Quran.  Dengan demikian baginda s.a.w. digelarkan Saiyidul-Hufaaz (Penghulu bagi penghafaz Al-Quran). Sahabat-sahabat semuanya menghafaz Al-Quran.  Ada di antara mereka yang menghafaz seluruh Al-Quran, dan ada di antaranya yang menghafaz sebahagiannya sahaja.  Bagi setiap orang Islam dikehendaki menghafaz Al-Quran sekurang-kurangnya cukup untuk dibaca di dalam solat.

    Menghafaz Al-Quran bukan bermakna mengingat ayat-ayatnya sahaja, malah ia mempunyai maksud yang lebih daripada itu.  Tidak ada bahasa lain yang dapat menterjemahkan perkataan Hafaz atau (hifz) dalam bahasa Aarab. Hifz dari segi bahasa bermaksud menjaga, dan memelihara.  Justeru, orang yang menghafaz Al-Quran ialah orang yang memelihara Al-Quran daripada hilang.  Ia menyimpannya di dalam dada, dan ia membacanya selalu supaya tidak lupa dan tidak hilang.  Khuram Murad menyebutkan di dalam bukunya Way to the Qur'an (1991) dengan mengatakan bahawa:

    The word Hifz now used in the limited sense of memorizing, includes
    both  understanding and practice.  In fact there is no English word
    which can accurately reflect its true and full meaning.

    Hifz is an essential way of making the Qur'an penetrate you.  It is not
    a mechanical, ritual etc., it is an act of high spiritual and devotional
    impotence.  Through Hifz one can read in prayers and ponder its
    meaning.  It makes the Qur'an flow on your tongue, reside in your
    mind, dwell in your heart, and it becomes your constant companion.

   Berdasarkan kepada kenyataan ini, kita faham bahawa menghafaz bukan bermaksud mengingat sahaja, walau pun mengingat itu satu daripada unsur menghafaz.  Menghafaz bermaksud menjaga, mengulang dan menghayati. Proses menghafaz bermula dengan membaca dan mengulang.  Yang telah lekat di dalam dada itu dijaga supaya tidak hilang.  Caranya ialah juga dengan selalu mengulang-ulang bacaan. Menghayati maksud ayat-ayat yang dibaca itu tidak dapat dilakukan kecuali dengan memahami maknanya.  Dan ini juga merupakan satu aktiviti yang perlu diambil perhatian.

    Menghafaz al-Quran tidak seperti menghafaz senikata lagu dan prinsip-prinsip matematik atau sains.  Selain daripada sifatnya yang tidak sama itu, menghafaz Al-Quran adalah ibadat.  Ia suatu amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t..  Dengan sebab itu ia mempunyai beberapa kelebihan.  Jadi, sebelum kita bincangkan tentang panduan dan cara-cara menghafaz, elok jika kita perhatikan dahulu  tentang kelebihan membaca dan menghafaz Al-Quran.

Firman Allah:

         

    Maksudnya:  "Sesungguhnya Al-Quran ini menunjukkan ke jalan yang
    paling lurus dan memberi berita gembira kepada orang mukmin yang
    mengerjakan amal soleh, bahawa bagi mereka ganjaran yang besar"

    Surah Al-Isra 9.

FimanNya lagi:

          

    Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab
    Allah dan mendirikan solat serta membelanjakan daripada rezeki
    yang Kami kurniakan kepada mereka secara rahsia atau secara
    terang, sedangkan mereka mengharapkan perniagaan yang tidak
    akan binasa (pahala yang bekekelan), nescaya Allah akan
    menyempurnakan kepada mereka ganjaran yang patut mereka 
    dapat, malah menambahkan lagi kepada mereka beberapa 
    kelebihan.  Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Pengampun lagi amat
     bersyukur".  Surah Fatir 29-30.

    Selain daripada itu, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam (s.a.w.) bersabda bemaksud:

    "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah Ta'ala, maka
    baginya satu kebajikan, dan satu kebajikan itu digandakan dengan
    sepuluh kali ganda.  Aku tidak mengatakan Alif, Lam, Mim itu satu huruf,
    tetapi, Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf".  Riwayat Ibnu
    Mas'ud.

    Abu Umamah al-Bahili r.a. meriwayatkan  dengan katanya: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:

    "Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang di hari
    Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya"

    Membaca Al-Quran bukan sahaja mendapat pahala dan menjadi syafaat di dalam kubur dan juga di hari Akhirat, tetapi ia juga merupakan ubat dan penawar serta rahmat bagi seluruh kaum muslimin.  Ini adalah berdasarkan firman Allah:

                     

    Bermaksud:  "Dan Kami turunkan sebahagian daripada ayat-ayat
    Al-Quran itu menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukmin".
    Surah Isra 82.

    Fadhilat Al-Quran bukan sahaja kerana membacanya, malah mendengarnya pun mendapat banyak manfaat.  Antaranya ialah seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud:

    "Sesiapa yang mendengar (bacaan) satu ayat dari kitab Allah
    (Al-Quran), maka ayat itu menjadi nur (cahaya) baginya". Riwayat
    Ibnu Abbas r.a.

    Malah,lebih daripada itu jika kita dapat menghafaz, memahami dan mengajarkannya kepada orang lain.  Kerana dengan menghafaz kita dapat memelihara Al-Quran daripada hilang, dan dengan mengajarnya kita dapat menyelamatkan orang Islam daripada kehilangan punca agama dan aqidah.  Dalam sebuah hadis riwayat Uthman bin 'Affan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang maksudya:

    "Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan
    mengajarnya kepada orang lain"

    Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh ad-Darimi daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

    "Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya Allah Ta`ala tidak
    menyiksa hati yang menyimpan Al-Quran (hafaz Quran).  Dan
    sesungguhnya Al-Quran itu hidangan Allah, maka sesiapa yang
    masuk padanya, maka dia mendapat keamanan, dan sesiapa yang
    kasihkan Al-Quran, maka hendaklah ia bergembira (dengan berita
    baik daripada Allah Ta'ala".

    Sebaliknya rugilah orang yang tidak ada Al-Quran di dalam hatinya walaupun satu ayat.  Rasulullah s.a.w. menganggapkan orang yang tidak membaca Al-Quran dan tidak menghafaznya, seterusnya tidak pula beramal dengan ajarannya ialah orang yang sangat rugi seperti rumah buruh yang hampir runtuh.  Sabda baginda s.a.w. bermaksud:

    "Sesungguhnya orang yang tidak ada sesuatu daripada Al-Quran
    di dalam dirinya adalah seperti rumah usang, buruk dan hampir
    runtuh"  Hadis riwayat Tarmizi.

    Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis seperti yang dibentangkan di atas, marilah sama-sama kita insaf diri dan kembali kepada Al-Quran.  Iaitu dengan mempelajarinya, memahami, menghafaz dan mengamal serta menghayati ajarannya.

    Di bawah ini dipeturunkan sedikit panduan menghafaz Al-Quran bagi yang berminat.  Jika ada kemusykilan, sila hubungi penulis.

Panduan dan langkah-langkah menghafaz Al-Quran

     Bagi guru Pendidikan Islam,  sebelum menyuruh pelajar menghafaz mana-mana ayat Al-Quran, guru hendaklah menerangkan dahulu tentang kelebihan mengahafaz Al-Quran dan kelebihan menghafaz ayat-ayat tertentu dan kenapa ayat-ayat berkenaan perlu dihafaz. Adalah tidak wajar jika guru hanya menyuruh pelajarnya menghafaz tanpa memberitahu caranya.

    Guru juga dikehendakki memberitahu pelajar tentang panduan menghafaz.  Ini bertujuan supaya proses menghafaz itu mudah dan cepat ingat serta tidak membosankan .  Di samping itu ia juga tidak mudah lupa.

A.  Adab-adab sebelum membaca/menghafaz Al-Quran. 

Kerana Al-Quran kitab yang suci, jadi kita perlu muliakannya sesuai dengan kesucian dan ketinggiannya.  Tanpa memuliakannya payah ayat-ayatnya akan melekat di dada kita.  Antara adab-adabnya ialah:

1.  Bersuci dan berwuduk
2.  Memakai pakaian yang bersih
3.  Berada di tempat yang bersih dan sunyi
4.  Mengadap kiblat
5.  Ikhlaskan niat.  Menghafaz kerana hendak menghafaz, sebab Allah
     dan rasulNya suka orang yang menghafaz Al-Quran, bukan kerana
     sebab-sebab lain yang bersifat keduniaan

B.  Teknik menghafaz Al-Quran

1.  Membaca ayat-ayat berakenaan dengan sebutan yang betul dan
     lambat-lambat (Tartil).  Jika ayat itu panjang, ambil sebahagiannya
     sahaja.
2.  Baca dan ulang-ulangkan beberapa kali hingga lancar.
3.  Setelah lancar, baca ayat berkenaan dengan lebih cepat (Tadwir).
4.  Ulang-ulangkan beberapa kali dengan bacaan Tadwir hingga betul-
     betul lancar.
5.  Baca dan cuba mengingat ayat-ayat berkenaan.  Iaitu baca tanpa
     melihat kepada mushaf.  Jika tersangkut atau tidak lancar baru lihat
     mushaf, dan kemudian teruskan bacaan (hafazan) tanpa melihat
     mushaf.
6.  Setelah dapat mengingat atau membaca dengan lancar tanpa melihat
     mushaf, baca ayat lain, iaitu ayat sambungannya, dan lakukan seperti
     langkah 1, 2, 3, 4, dan 5.
7.  Setelah dapat mengingat ayat yang kedua ini, mula balik membaca dari
     awal ayat pertama hingga akhir ayat kedua tanpa melihat mushaf,
   
melainkan jika tersangkut atau tidak lancar.
8.  Ulangkan baca beberapa kali dengan bacaan Tadwir supaya lancar.
9.  Apabila mendirikan solat, baca ayat-ayat yang telah dihafaz itu di
     dalam solat.
10.Amalkan membaca Al-Quran setiap hari supaya tidak lupa.

    Inilah di antara panduan dan langkah-langkah menghafaz Al-Quran yang dapat dipaparkan untuk tatapan pembaca.  Jika ada kabaikan, itu ialah pertolongan daripada Allah Ta'ala.  Jika ada kekurangan, itulah sifat manusia yang serba kekurangan, justeru berbanyak maaf dipinta.  Semoga rencana yang ringkas ini memberi manfaat untuk semua. 

 

Home Up