Make your own free website on Tripod.com

 
   Ke Laman Pendidikan Islam

 

Fardhu Ain Dalam Profesionalisme Perguruan

 Home Up

             Ramai dikalangan kaum muslimin yang kurang jelas dalam konsep Fardhu Ain.  Kalau dibuat tinjauan kepada seluruh kaum muslimin di Malaysia tentang apa itu Fardhu Ain, nescaya kita akan dapati 90% akan menjawab bahwa Fardhu ain itu ialah wudhuk, mandi hadas, solat, puasa, zakat dan haji.

            Kalau ditanya kepada guru-guru Islam di sekolah tentang perkara ini, nescaya mereka juga akan memberi jawapan yang sama.  Kalau itulah jawapannya, betullah, tetapi tidak tepat dan tidak sempurna.  Ini semua bukan Fardhu Aindalam ertikata sebenar, tetapi Asas Fardhu Ain.

            Kementerian Pendidikan telah mengadakan satu bentuk ujian atau penilaian bagi murid-murid tahun 6 sekolah rendah dan pelajar tingkatan 3 dan 5 sekolah menengah yang dinamakan Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA). Terdapat 15 perkara yang disoalkan mengenai perkara-perkara seperti di atas termasuk bab nikah bagi pelajar sekolah menengah (tingkatan 5), seperti rukun nikah, tanggungjawab suami ister, penjagaan anak dan lain-lain.  Ini semua ialah Asas Fardhu Ain.  Jadi, kalau disebut Fardhu Ain, tentulah lebih daripada itu.

            Nabi Muhammad s.a.w. menyebut di dalam hadisnya yang bermaksud:  “Menuntut ilmu adalah fardhu (wajib) ke atas tiap-tiap orang Islam (lelaki dan perempuan).

            Dalam hadis ini tidak ditentukan ilmu apa yang wajib.  Bermakna semua ilmu yang berguna wajib dituntut. Yang lebih utama ialah ilmu-ilmu tentang ketuhanan, iaitu untuk mengenal Allah yang Esa (Tauhid), ilmu tentang pelakuan ibadah (Fiqah), ilmu tentang perintah dan larangan (tafsir dan hadis) dan sebagainya.

            Daripada ilmu-ilmu inilah kita akan mengetahui tentang tanggungjawab kita sebagai seorang muslim, yang semestinya tidak terhad kepada solat, puasa, wudhuk, zakan dan haji sahaja.

            Bekerja adalah wajib, sebab mencaari nafkah.  Manyekolahkan anak adalah wajib, kerana memberi ilmu.  Menghormati ibu bapa dan orang yang lebih tua juga wajib.  Dalam perkerjaan mesti tahu apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh. Dalam perniagaan juga wajib tahu apa benda yang boleh diperniagakan dan yang apa pula yang dilarang.  Dalam ekonomi, politik, sosial, teknologi dan sebagai, semua mesti ada ilmu agama tentang perkara itu.  Dan inilah yang dikatakan Fardhu Ain.

            Bekerja di tempat yang dilarang, seperti kilang arak, tempat judi, tempat proses dadah, riba dan sebagainya adalah haram hukumnya.  Bekerja dengan tidak mengikut tata-tertib kerja, masa bekerja, juga boleh menyebabkan pendapatan kita tidak halal dan haram hukumnya.  Ini juga termasuk dalam Fardhu Ain.  Maknanya, setiap muslim wajib mengetahui dan wajib belajar hukum-hukum agama.

            Paling kurang dalam apa-apa pekerjaan kita wajib mengetahui tiga jenis ilmu, iaitu ilmu pekerjaan (ilmu bidang), ilmu alat dan ilmu agama (Fardhu Ain).

      Setiap guru mesti mendalami dalam bidangnya.  Katakan ia seorang guru Pendidikan Islam, maka ia memang benar-benar arif dalam bidang itu.  Orang yang tidak mahir, tidak layak mengajar bidang ini.  Begitu juga dalam bidang-bidang lain.  Matematik, misalnya, geografi, sains, dan sebagainya.  Orang yang tidak mahir tidak boleh menjadi guru dalam dalam bidang berkenaan.  Ini ilmu bidang namanya.

            Di samping itu,  setiap guru haruslah mempunyai ilmu alat.  Yang dimaksudkan di sini ialah ilmu tentang tata-cara penyampaian ilmu dengan lebih berkesan.  Maka setiap guru yang berkursusus diberikan ilmu tentang psikologi kanak-kanak, psikologi remaja, perkaedahan, pedagogi, andragogi, pengurusan bilik darjah, penilaian dan sebagainya.  Tanpa ilmu ini guru berkenaan tidak dapat menyampaikan pelajaran dengan lebih berkesan.

Yang lebih penting ialah ilmu tanggungjawab.  Iaitu, apakah tanggungjawab guru dalam  pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dari perspektif Islam.  Apakah hukum jika guru tidak mengajar?  Apa hukumnya jika guru tidak menjalankan tugasnya dengan betul? Masuk kelas lambat tanpa sebab. Tidak pernah buat ujian.  Ponteng kelas tanpa ganti.  Memukul murid tidak setimpal dengan kesalahannya atau yang tidak wajar dipukul menurut syariat Islam.  Apakah hukum semua ini?   Mengetahui ini semua adalah Fardhu Ain.

Oleh kerana guru tidak faham konsep Fardhu Ain, maka ramai guru yang melanggarkan hukum syariat semasa melaksanakan tugasnya.  Dan dia tidak merasa bersalah, melainkan jika kesalahan itu berkebetulan dengan undang-undang dan peraturan sekolah.  Ini adalah kerana tidak jelas konsep Fardhu Ain.  Mereka menganggap bahawa fardhu Ain itu wudhuk, solat dan haji.  Ini semua telah pun selesai.  Dengan itu tindakan kita banyak yang bertentangan.

Bukan dalam bidang perguruan sahaja, sebenarnya, dalam semua bidang pekerjaan perlu tahu hukum Islam, yang diistilahkan Fardhu Ain.  Dalam perniagaan, walau pun sekadar kedai runcit, kedai koprasi, atau lebih besar lagi, perlu faham Fardhu Ain.  Dalam bidang kejuruteraan, kedoktoran, perkeranian, pentadbiran, penngurusan, boroh, dan sebagainya perlu faham hukum Islam dalam bidang berkenaan. 

Ilmu inilah yang dikatakan Ilmu Fardhu Ain.  Yakni yang wajib diketahui oleh setiap orang Islam.  Tanpa mengetahuinya, maka kita sering melakukan kesalahan yang menyebabkan kita berdosa.

            Oleh itu, marilah sama-sama kita sedar akan hal ini dan insaf, seterusnya berjumpa guru yang mahir dalam bidang keagamaan untuk mengetahui dengan lebih jelas tentang tanggungjawab kita dalam bidan pekerjaan kita masing-masing.  Dengan ini boleh menyelamatkan kita daripada terus menerus melakukan dosa tanpa disedari.

            Dalam keadaan demikian seseorang itu mungkin mendapat dua dosa serentak.  Pertama kerana melakukan kesalahan, dan kedua kerana tidak tahu dan tidak mahu belajar agama.  Boleh jadi seseorang itu merasakan ilmu agama tidak penting padanya, lagi pun dia telah pun belajar Fardhu Ain semasa kecil-kecil dahulu dan telah cukup.

            Eloklah kita muhasabah diri dan minta ampun kepada Allah. Insya Allah,  Allah akan mengampunkan kita jika kita benar-benar ikhlas dan merendah diri kepadaNya.

Ibnu Ahmadi